Thursday, 2 April 2015

TUGAS-TUGAS DAN KUASA-KUASA PERBADANAN PENGURUSAN

(1) Tugas-tugas perbadanan pengurusan termasuklah yang berikut:
(a) untuk mengurus dan menyenggarakan mengikut apa-apa bentuk yang ditetapkan dan dengan sempurna harta bersama dan menjaganya dalam keadaan yang baik dan pembaikan yang boleh-guna;
(b) untuk menginsuranskan dan sentiasa menginsuranskan bangunan atau tanah yang telah dipecahbahagikan itu, sebanyak nilai gantiannya terhadap kebakaran dan apa-apa risiko lain sebagaimana yang ditetapkan di bawah Akta ini;
(c) untuk mengambil apa-apa insurans lain bagi bangunan atau tanah yang dipecahbahagikan sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang;
(d) untuk menginsuranskan terhadap apa-apa risiko lain sebagaimana yang diarahkan oleh pemilik-pemilik melalui ketetapan khas;
(e) untuk menggunakan wang insurans yang diterimanya berkenaan dengan kerosakan kepada bangunan atau tanah yang dipecah bahagi dalam membina semula dan memulihkannya setakat yang ia sah di sisi undang-undang untuk berbuat demikian, tertakluk kepada apa- apa perintah yang dibuat oleh mahkamah di bawah seksyen 56;
(f) untuk membayar premium bagi apa-apa insurans yang diambilnya;
(g) untuk mematuhi apa-apa notis atau perintah yang diberi atau dibuat-oleh mana-mana pihak berkuasa awam atau berkanun yang layak menghendaki pemberhentian apaapa kacau ganggu atas harta bersama, atau mengarahkan kerja-kerja pembaikan atau lain-lain kerja yang hendak dibuat berkenaan dengan harta bersama itu atau manamana bangunan atau tanah atau perbaikan lain atas lot itu:
(h) untuk mematuhi apa-apa notis atau perintah sebagaimana yang disebutkan dalam perenggan (g) yang diberi atau dibuat berkenaan dengan mana-mana petak, jika pemilik gagal berbuat demikian dalam masa yang munasabah;
(i) untuk menyediakan dan menyenggarakan suatu daftarai Strata bagi bangunan atau tanah yang dipecah bahagi.

(2) Kuasa-kuasa perbadanan pengurusan hendaklah termasuk yang berikut:
(a) untuk mendapatkan kembali daripada mana-mana pemilik petak itu dalam mematuhi apa-apa notis atau perintah sebagaimana yang disebutkan dalam perenggan (f) subseksyen (1);
(b) untuk membeli, menyewa atau selainnya memperolehi harta alih untuk kegunaan oleh pemilik berkaitan dengan penikmatan harta bersama oleh mereka;
(c) untuk meminjam wang yang dikehendakinya dalam menjalankan kuasa-kuasanya atau melaksanakan tugas-tugasnya;
(d) untuk menjamin pembayaran balik wang yang dipinjamnya dan pembayaran faedah ke atasnya melalui suratcara boleh-niaga atau melalui tanggungan caruman-caruman yang tidak berbayar kepada kumpulan wang pengurusan, (sama ada telah pun dilevi atau tidak) melalui gadaian mana-mana harta yang terletak hak  kepadanya atau melalui suatu kombinasi antara mana-mana dari cara tersebut;
(e) sepanjang tempoh permulaan memungut dengan cara caruman daripada pemilik petak yang berkadaran dengan syer unit bagi petak mereka masing-masing; dan
(f) untuk membuat segala perkara yang semunasabahnya perlu bagi pelaksanaan tugas-tugasnya di bawah Bahagian ini dan bagi penguatkuasaan undang-undang kecil yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga.

(3) Perbadanan pengurusan hendaklah disifatkan-
(a) bagi maksud mengambil apa-apa insurans di bawah perenggan (b) atau (c) subseksyen (l), sebagai mempunyai kepentingan boleh insurans dalam bangunan yang dipecah bahagi yang sama dengan nilai gantiannya; dan
(b) bagi maksud mengambil apa-apa insurans di bawah perenggan @ subseksyen (1), sebagai mempunyai kepentingan boleh-insurans dalam hal perkara insurans itu.

(4) Sesuatu polisi insurans yang diambil oleh perbadanan pengurusan di bawah seksyen ini berkenaan dengan bangunan yang dipecah bahagi tidaklah boleh digabungkan dengan mana-mana polisi insurans yang lain, kecuali jika suatu polisi yang lain diambil olehnya di bawah seksyen ini berkenaan dengan bangunan yang dipecahbahagikan itu juga.

(5) Di mana perbadanan pengurusan menjalankan apa-apa kerja pembaikan, kerja atau perbuatan yang dikehendaki atau diberi kuasa oleh atau di bawah Bahagian ini atau oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain untuk melaksanakan (sama ada atau tidak kerja pembaikan, kerja atau perbuatan telah dilaksanakan berikutan dengan penyampaian apa-apa notis atau perintah kepadanya oleh mana-mana Kerajaan atau pihak berkuasa berkanun), tetapi kerja pembaikan, kerja atau perbuatan itu adalah keseluruhannya atau sebahagian besarnya menjadi tanggungan atau tanggungjawab pemilik sesuatu petak sahaja, atau keseluruhannya atau sebahagian besarnya untuk faedah beberapa petak sahaja, apa-apa wang yang dibelanjakan oleh perbadanan pengurusan dalam menjalankan kerja pembaikan, kerja atau perbuatan itu hendaklah:
a) dalam hal di mana kerja pembaikan, kerja atau perbuatan adalah keseluruhannya atau sebahagian besarnya menjadi tanggungan atau tanggungjawab pemilik suatu petak sahaja, bolehlah didapatkan kembali oleh perbadanan pengurusan melalui sesuatu tindakan dalam mahkamah berbidangkuasa kompeten sebagai hutang yang genap masanya kena dibayar secara bersesama dan berasingan daripada-
(i) pemilik petak yang berkenaan pada masa bila kerja pembaikan, kerja atau perbuatan dilaksanakan; dan
(ii) pemilik petak yang berkenaan pada masa bila tindakan dimulakan; atau
(b) dalam hal di mana kerja pembaikan, kerja atau perbuatan adalah keseluruhannya atau sebahagian besarnya bagi faedah beberapa petak sahaja, atau keseluruhannya atau sebahagian besarnya menjadi tanggungan atau tanggungjawab pemilik beberapa petak sahaja, boleh didapatkan kembali oleh perbadanan pengurusan melalui sesuatu tindakan dalam mahkamah berbidangkuasa kompeten sebagai hutang yang genap masanya kena dibayar bersesama dan berasingan daripada-
(i) pemilik yang berkenaan bagi setiap petak tersebut pada masa bila kerja pembaikan, kerja atau perbuatan dilaksanakan; dan
(ii) pemilik yang berkenaan bagi setiap petak tersebut pada masa bila tindakan dimulakan, amaun yang kena dibayar oleh mana-mana pemilik dan bekas pemilik berkenaan dengan mana-mana petak yang tidak lebih daripada kadar hutang itu yang unit syer petak itu berbanding pula dengan jumlah unit syer bagi kesemua petak itu.

(6) Pemilik suatu petak yang bukan pemilik petak tersebut pada masa kerja pembaikan, kerja atau perbuatan yang disebutkan dalam subseksyen (5) telah dijalankan tidaklah bertanggungan membayar kepada perbadanan pengurusan apa-apa amaun yang kena dibayar di bawah subseksyen tersebut jika dia telah, pada bila-bila masa pada atau dalam masa dua puluh satu hari sebelum tarikh dia memperolehi hakmilik atau kepentingan dalam petak itu, membuat rekuisisi secara bertulis kepada perbadanan pengurusan untuk bertanyakan tentang amaun (iika ada) yang boleh didapatkan kembali oleh perbadanan pengurusan di bawah subseksyen itu berkenaan dengan petak tersebut dan perbadanan pengurusan telah-
(a) memperakui bahawa tidak ada amaun yang boleh didapatkan kembali oleh perbadanan pengurusan berkenaan dengan petak itu; atau
(b) tidak memberikan jawapan kepada rekuisi tersebut pada bila-bila masa dalam tempoh empat belas hari dari tarikh penyampaian rekuisisi itu.

(7) Jika perbadanan pengurusan menanggung apa-apa perbelanjaan atau melaksanakan apa- apa kerja pembaikan, kerja atau perbuatan yang dikehendaki atau dibenarkan oleh atau di bawah Bahagian ini atau oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain untuk melaksanakan (sama ada perbelanjaan telah ditanggung ataupun belum atau kerja pembaikan, kerja atau perbuatan telah dilaksanakan ataupun belum berikutan dengan penyampaian apa-apa notis atau perintah kepadanya oleh mana-mana Kerajaan atau pihak berkuasa berkanun) dan perbelanjaan atau kerja pembaikan, kerja atau perbuatan itu dijadikan perlu oleh sebab apa-apa perbuatan atau ketirig galan yang sengaja atau cuai di pihak, atau pelanggaran terhadap mana-mana peruntukan undang-undang kecilnya oleh, mana-mana orang atau tenan, penerima pajak, pemegang lesen atau orang jemputannya, amaun perbelanjaan itu atau apa-apa wang yang dibelanjakan olehnya dalam menjalankan kerja pembaikan, kerja atau perbuatan bolehlah didapatkan kembali olehnya daripada orang tersebut sebagai hutang melalui tindakan dalam mana-mana mahkamah berbidangkuasa kompeten.

(8) Keluasan makna seksyen ini tidaklah terjejas oleh mana-mana peruntukan lain dalam Bahagian ini yang memberi kuasa kepada atau mempertanggungjawabkan tugas ke atas perbadanan pengurusan.
Rujukan; Bahagian VII: Pengurusan Bangunan Yang Dipecah Bahagi Bil:43